Pada mulanya mereka menjual sate dengan cara berkandar, iaitu menggunakan dua bakul khas yang dikandar, sebuah bakul sebagai tempat membakar, manakala sebuah lagi untuk kuah dan menghidangkan sate yang telah dibakar.
Mereka berjual sate di sekitar pekan Kajang, bermula dari kampung mereka ke rumah penduduk di kawasan itu. Mereka akan singgah di rumah-rumah yang memanggil mereka di sepanjang perjalanan. Kemudian mereka berhenti di pekan Kajang, di hadapan sebuah kedai kopi Cina, Kedai Kopi Ban Seng.
Pada awalnya Rono membantu Tasmin menjual sate secara sambilan, kerana dia masih bekerja di ladang getah. Rono menjalankan perniagaan sendiri setelah mengambil alih perniagaan mentuanya, Haji Mohamad Noor.
Pada awal tahun 1940-an, Tasmin dan Rono mula berjual sate dengan menggunakan kereta tolak, dan tempat mereka berjualan adalah di hadapan kedai kopi Ban Seng, di Jalan Sulaiman sekarang. Sate biasanya dihantar kepada pelanggan di kedai kopi tersebut atau dimakan di tempat yang disediakan di keliling kereta tolak itu dengan duduk di atas bangku kecil yang disediakan.
Mereka berjual sate mulai petang hingga ke malam. Pada waktu malam mereka terpaksa menggunakan lampu sendiri, iaitu lampu gasolin.